Sabah FC, Tourism Malaysia tawar pakej sukan pelancongan kepada peminat ‘Sang Badak’
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (24 OKT): Sabah FC dan Tourism Malaysia menawarkan pakej sukan pelancongan kepada peminat bola sepak ‘Sang Badak’.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Sri Dr Anil Jeet Singh Sandhu berkata pakej sukan pelancongan gabungan elemen bola sepak dan produk pelancongan tersebut menawarkan dua pakej berharga RM699 dan RM1,399 seorang.
“Pakej ini termasuk penginapan di hotel bertaraf empat bintang, cenderamata premium, lawatan ke lokasi menarik, peluang beramah mesra bersama pemain-pemain Sabah FC selain pas masuk stadium dan menonton perlawanan bersama-sama legenda bola sepak Sabah.
“Sebagai permulaan, pakej tiga hari dua malam ‘Bola In The City’ ini dibuka kepada para peminat bola sepak yang berada di Sabah untuk tempoh setahun dan selepas itu akan diperluaskan kepada umum di peringkat nasional.
“Penawaran pakej sukan pelancongan tersebut diharapkan menarik lebih ramai kehadiran peminat bola sepak ke stadium sekaligus membantu memulihkan industri pelancongan domestik.
“Dianggarkan 80 hingga 100 peminat setia akan mengikuti rombongan pemain-pemain bola sepak kesayangan mereka pada setiap kali perlawanan berlangsung di mana-mana negeri,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah FC dan konsortium agensi pelancongan Sabah, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut Dr Anil menyaksikan MoU ‘Bola In The City’ antara Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Khairul Firdaus Akhbar Khan dan Azlan Salleh yang mewakili lapan agensi pelancongan di Sabah.
Sementara itu, Khairul Firdaus menjelaskan bahawa para pelanggan boleh memperolehi maklumat lanjut berkenaan tawaran pakej tersebut melalui laman sesawang Sabah FC atau di laman sosial Facebook Tourism Malaysia Sabah.
“Diharapkan melalui penawarannya dapat menarik lebih ramai kehadiran peminat bola sepak ke stadium, malah mampu membantu memulihkan industri pelancongan domestik,” jelasnya.
Lapan agensi pelancongan itu ialah Dynamic Tours Travel & Incentive Sdn. Bhd., Borneo Excursions (AHSB Rentacar Sdn Bhd)., Inno Travel & Tour Services Sdn. Bhd., Sensational Holidays (Borneo) Sdn. Bhd., Discovery Tours (Sabah) Sdn. Bhd., Kinabalu Heritage Tours & Car Rental Sdn Bhd, Borneo Trails Tours & Travel Sdn. Bhd. dan Nadi Borneo Tours Sdn. Bhd.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Sabah Tourism Board, Noredah Othman, Pengarah Tourism Malaysia, Ednie Rahma Ab Rahim, Pengurus Pasukan Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee serta Ketua Komersil MASWing, Chali Awang.
Sumber: Penerangan