Sabah FC terus unggul tanpa kalah selepas tiga perlawanan

editor@bayunews.net

KUCHING (7 MAC): Sabah FC masih mengekalkan rentak permainan menang tanpa kalah selepas menundukkan tuan rumah Kuching City FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, semalam.

Di awal permainan, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mula melakar beberapa percubaan awal ke gawang tuan rumah.

Aksi pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani melakukan percubaan diluar kotak penalti tuan rumah namun dapat dibaca oleh penjaga gol Kuching City FC Julian Garcia Schwarger pada minit ke-3.

Selang lapan minit kemudian, pemain tuan rumah Zahrul Nizwan Joe Kifli mencemaskan pasukan Sabah FC dengan percubaan jarak jauh bagaimanapun sepakannya melewati palang skuad Badak pada minit ke-11.

Keadaan padang yang berlumpur tidak menghalang buat Sabah FC mencipta gol pertama menerusi jaringan Saddil Ramdani pada minit ke-23 selepas menerima hantaran dari ketua pasukan Park Taesu membolehkan Sabah mendahului jaringan 1-0.

Tersentak dengan gol itu, Kuching City FC cuba mencari peluang untuk menyamakan kedudukan dengan beberapa percubaan namun berjaya dipatahkan pertahanan Sabah FC.

Masa tambahan separuh masa pertama, Kuching City FC akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila pemain import tuan rumah Abu Kamara menjaringkan gol pada minit ke-46 selepas berlaku keadaan kelam kabut didalam kotak penalti Sabah FC menjadikan kedudukan berubah 1-1.

Tamat masa rehat, Sabah FC terus mencari peluang dan mengatur beberapa serangan ke gawang tuan rumah bagi menambah gol di laman lawan.

Keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti tuan rumah membolehkan Sabah FC menambah gol kedua menerusi jaringan pemain import Telmo Castanheira pada minit ke-57 selepas menerima bola tolakan daripada Darren Lok menjadikan kedudukan 2-1.

Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan menjadikan Sabah FC mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan PDRM FC (4-0) dan Kelantan United FC (3-1) di Stadium Likas sebelum ini.

Untuk rekod, Sabah FC menduduki tangga kedua dengan sembilan mata dan bakal menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada 12 Mac ini.