
Sabah FA atur langkah persiapan saingan Piala Presiden dan Piala Belia
editor@adminbayu.net
KOTA KINABALU (12 OKT): Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan membuat persiapan untuk beraksi dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia jangka masa terdekat ini.
Menurut kenyataan Setiausaha Agungnya Datuk Dr Jelani Hamdan, SAFA akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan persiapan untuk kedua-dua kejohanan itu.
“Ia termasuk melakukan sesi pemilihan dan kita turun ke peringkat zon dan daerah untuk tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita berhubung persiapan Sabah FA mengenai kejohanan berkenaan.
Sebelum ini, Jelani yang juga Pengarah Sabah FC mengesahkan bahawa pasukan Sabah FA akan bertanding dalam Piala Presiden dan Piala Belia tahun depan.
Katanya, Sabah FA akan bertanding secara berasingan dengan Sabah FC dalam saingan liga tersebut selepas badan bola sepak negeri memutuskan untuk mengambil bahagian.
Menurut beliau, keputusan SAFA itu sudah dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Jelani menjelaskan SAFA tiada halangan untuk menyertai Piala Presiden dan Piala Belia kerana ia pernah menyertai liga tersebut sebelum ini.
Bagaimanapun tambahnya, SAFA tidak menyertai kejohanan itu sejak tiga tahun lepas kerana penyertaan itu diteruskan Sabah FC.
“Justeru mulai musim depan, SAFA mengambil keputusan untuk bertanding menggunakan pasukan Sabah FA secara sendiri,” kata beliau.





