Sabah catat rekod tertinggi kes berkaitan rumah tangga

Beaufort : Sabah mencatatkan rekod tertinggi kes berkaitan rumah tangga khususnya yang melibatkan penceraian dan kes perebutan harta pusaka.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, berdasarkan rekod Mahkamah Anak Negeri (MAN), kedua-dua kes itu meningkat pada tahun ini berbanding pada 2020 hingga 2022.

Katanya, pemimpin masyarakat dan komuniti perlu mempunyai perancangan yang strategik bagi mengelak kes berkenaan dari terus melonjak tinggi.

Menurutnya, ketua keluarga juga dinasihati untuk menyediakan wasiat agar tidak berlaku perebutan harta pusaka yang ditinggalkan.

“Peserta program ini ialah dari komuniti, KRT, daripada pemimpin masyarakat, masjid dan surau.

 

“Tujuannya adalah untuk kita memberi pendedahan melalui ceramah iaitu pengenalan bidang kuasa bahagian penguatkuasa undang-undang Syariah.

“Penguatkuasaan ini mereka perlu ketahui kerana banyak isu yang akan timbul berkenaan dengan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Dialog Cegah Jenayah Syariah daeah Beaufort di sini.

Mengenai program itu, Ruslan berkata, pendekatan dialog amat bertepatan dan rasional dalam mendepani cabaran isu jenayah semasa khususnya jenayah Syariah.

Jika tidak diatasi katanya, ia boleh mengugat aktiviti harian, perhubungan sosial dan aktiviti masyarakat.