Sabah akan ambil alih SESB, kawal selia gas dan elektrik sendiri

PUTRAJAYA: Kerajaan negeri merancang untuk menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah seterusnya mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata demikian ketika dalam mesyuarat yang dipengerusikan bersama dengan jawatankuasa tertinggi serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed di Wisma Sumber Asli, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam mesyuarat pertama dengan jawatankuasa pemandu berkaitan dengan penyerahan kuasa mengawal selia membekalkan elektrik dan SESB kepada kerajaan negeri, adalah dipersetujui bahawa KeTSA akan membawa cadangan rancangan kerajaan negeri Sabah untuk mengambil alih SESB dalam dua fasa kepada Kabinet Persekutuan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri perlu terlebih dahulu menubuhkan Suruhanjaya Tenaga sendiri supaya kuasa mengawal selia bekalan elektrik boleh diserahkan kepada Sabah daripada kerajaan persekutuan.

Selepas itu katanya, kerajaan negeri dijangka akan mengambil alih SESB dengan tanpa sebarang liabiliti selepas pelan tranformasi SESB lengkap dalam tempoh lima sehingga tujuh tahun dari sekarang.

“Oleh itu, kerjasama dari semua pihak sangat diperlukan bagi memastikan semua proses perundangan dapat dilakukan secara lancar,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut membincangkan cadangan program dan projek untuk dilaksanakan di Sabah dibawah Rancangan Pembangunan Penjanaan Bekalan Tenaga Sabah (2022-2041).

Katanya, kerajaan negeri Sabah mencadangkan bahawa projek logi kuasa 100 megawatt yang telah ditender keluar akan dibina di Kimanis yang mana sumber bekalan gas sedia ada mencukupi.

Katanya, kerajaan negeri juga menyokong pemohonan pembinaan New Sabah Hydro yang mana loji berkenaan mampu menghasilkan 170 Megawatt hydroelektrik dengan konsep ‘Run of River’ dibina di Sungai Maligan dan Hulu Sungai Padas, Sipitang. Perkara ini juga telah dibentang dan diluluskan dalam Kabinet Negeri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan projek 135 Megawatt New East Gas tidak akan diteruskan sekiranya tarif berkenaan tidak berdaya saing dan Projek Southern Link Distribution wajar dilaksanakan sebagai satu pakej serta bukannya dalam berperingkat menerusi peruntukan terus daripada Rancangan Malaysia ke-12 menjelang 2027.

“Kerajaan negeri juga mencadangkan agar kerajaan persekutuan tidak meneruskan projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) disebabkan tiada bekalan gas, sebaliknya kontraktor yang dilantik sebelum ini akan melaksanakan tugas bagi projek Southern Link,” katanya.

Hajiji juga mahu pelaksanaan projek naik taraf grid pengagihan kuasa dari Segaliud (Sandakan) ke Jalan Dam (Lahad Datu) dan Mengalong (Sipitang) ke Lawas, Sarawak dipercepatkan.

Katanya, kerajaan negeri juga memohon agar harga gas sedia ada pada Penjana Kuasa Bebas (IPP) dikekalkan pada minimum RM6.04 per Metric Million British Thermal Unit (MMBtu) sehingga tamat tempoh konsesi bagi mengelakkan sebarang kenaikan mendadak dalam kos operasi yang secara langsung akan memberikan kesan kepada tarif elektrik di Sabah.

Suruhanjaya Tenaga juga diseru untuk mempercepatkan kelulusan lesen projek bekalan elektrik untuk Kilang Kaca Kibing di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Seterusnya, Hajiji turut mempengerusikan bersama mesyuarat jawatankuasa pemandu berkaitan penyerahan pengurusan dan kawalan sumber gas bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, tindakan kerajaan negeri mengambil alih pengurusan dan kawalan bekalan gas di Sabah adalah selari dengan pelbagai inisiatif berkaitan yang telah dirancang serta dilaksanakan di Sabah.

“Ia sekali gus membolehkan kerajaan negeri terlibat secara langsung dengan aktiviti industri gas dan minyak untuk manfaat rakyat Sabah.

“Kerajaan negeri juga komited untuk memastikan industri gas di Sabah untuk terus dibangunkan menerusi dasar berkaitan tanpa menjejaskan keselamatan dan kelancaran perkhidmatan kepada pelanggan, selain memastikan tiada lagi gangguan ketika operasi sepanjang tempoh peralihan,” katanya. – UB