Ruslan tekad untuk terus selesaikan isu rakyat di Lumadan

Beaufort : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam bertekad untuk terus menyelesaikan isu rakyat khususnya di kawasan itu selari dengan agenda ‘Lumadan Sejahtera’.

Katanya, kejayaan menyelesaikan isu bekalan air di Lumadan yang kini telah dinikmati penduduk beberapa buah kampung juga menjadi antara memberi semangat untuk beliau terus membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

“Sejak saya diberi mandat sebagai ADUN Lumadan, sudah tentu saya bertekad untuk menyelesaikan satu demi satu isu rakyat selari dengan agenda ‘Lumadan Sejahtera’.

“Keyakinan akar umbi untuk Bersama kita khususnya dalam perjuangan Parti Bersatu Sabah (PBS) juga terbukti apabila kita berjaya menyelesaikan isu bekalan air di Lumadan yang kini telah dinikmati oleh beberapa buah kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Santai Muhibbah di sini semalam.

Pada program itu, Ruslan yang juga Naib Presiden menerima kemasukan seramai 210 ahli daripada lima cawangan pelbagai parti politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan di sini yang mengumumkan keluar daripada parti masing-masing untuk menyertai PBS di bahagian itu.

Daripada jumlah itu, tiga cawangan adalah daripada parti UMNO manakala dua lagi masing-masing daripada Harapan dan Warisan, dalam satu Program Santai Muhibbah PBS Zon Padas Damit yang diadakan di Dewan Serbaguna Padas Damit.

Bagi cawangan Kg Bintuka seramai 53 ahli menyertai PBS yang diketuai Talipudin Bakar; Cawangan Kg Kalaga yang diketuai Osman Ismail (34 orang); Cawangan Kg Gelila Jaya diketuai Jiman Juslih seramai 32 orang; cawangan Kg Kamarias 35 ahli diketuai Asli Mijin dan cawangan Kg Raja Besar seramai 56 orang yang diketuai Sitrah@Salleh Md Bakut.

Keputusan meninggalkan parti masing-masing dibuat setelah melihat hasil perjuangan PBS bahagian itu yang sentiasa memperlihatkan kesungguhan dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat di akar umbi.

Ruslan berkata,bukan setakat keperluan asas yang diperjuangkannya malah dari sudut pembangunan juga dibawa sebagai contoh ‘Dewan Perpaduan DHRM’ yang bukan sahaja memberi manfaat di beberapa kampung malah di Padas Damit, kemudahan itu diyakini memberi keselesaan kepada masyarakat setempat apabila berkunjung ke Klinik Kesihatan.

Katanya, masyarakat di Padas Damit juga bakal mendapat manfaat apabila lapan unit kedai bakal didirikan di kawasan itu setelah termeterainya MoU yang diyakini memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.