
Ruslan santuni penduduk alami kecederaan di Kampung Lago

Beaufort : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam hari ini berkesempatan menyantuni seorang penduduk di Kampung Lago yang mengalami kecederaan ketika bekerja.
Dalam kunjungan itu, Ruslan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) cawangan Beaufort turut menyerahkan sumbangan kepada Mazrin Suhaili.
Selain itu, PERKESO dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut melihat keperluan dan bantuan yang diperlukan oleh Mazrin.
Ruslan berkata, Mazrin dilaporkan mengalami kecederaan sewaktu bekerja yang mengakibatkan beliau mengalami luka di bahagian mata dan menjejaskan penglihatan beliau.
“Pihak PERKESO dan JKM turut melihat keperluan/bantuan yang diperlukan oleh beliau bagi meringankan beban beliau yang masih memerlukan rawatan dan mendapatkan rawatan di Hospital.
“Saya juga turut menghulurkan sedikit sumbangan peribadi dan juga pihak PERKESO memberi sumbangan anggota PERKESO Beaufort,” katanya.
Sejurus selepas lawatan itu, Ruslan turut melawat seorang lagi penduduk Diah Jamsin di Kampung Batandok yang kesihatan beliau terjejas atas faktor usia.
“Beliau telah dijaga oleh ahli keluarganya dan saya turut menyampaikan sedikit sumbangan peribadi bagi meringankan beban beliau. Saya doakan semoga mereka diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT,” katanya.