Satu blok rumah kongsi musnah dijilat api di Tawau

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

TAWAU (28 DIS): Satu blok rumah kongsi enam pintu di perumahan pekerja ladang musnah dijilat api dalam kejadian di kilometer 42, Ladang Cenderamata, di sini petang kelmarin.

Difahamkan, kebakaran berlaku pada jam 2 petang itu telah menyebabkan enam keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka terbakar hampir 90 peratus.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.10 petang.

“Seramai lapan anggota dan pegawai serta dua jentera dikerah ke lokasi bagi operasi pemadaman.

“Kepantasan pihak bomba dalam operasi pemadaman telah berjaya menyelamatkan beberapa rumah berhampiran daripada api terus marak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tiada kemalangan jiwa atau mangsa terkorban berhubung insiden itu.

Sehingga kini, siasatan berkenaan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan

Operasi ditamatkan pada pada jam 3.53 petang selepas pemeriksaan ke atas lokasi disahkan selamat.