Rumah jenis bertiang perlu dipertimbang untuk dibina, langkah jangka panjang kurangkan impak banjir

Beaufort : Pembinaan modal rumah jenis tiang tinggi perlu dipertimbangkan sebagai langkah jangka panjang bagi mengurangkan impak banjir di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, ini kerana daerah itu cenderung dilanda banjir terutama pada ketika musim hujan berterusan.

Katanya, ia turut membantu dalam memastikan keselamatan para penduduk terjamin ketika berlakunya bencana banjir.

“Untuk jangka panjang mungkin kita boleh bermula pada tahun ini, kita fikirkan bersama keselamatan kita untuk membina rumah yang bertiang. Ini menjamin keselamatan.

“Kita serahkan kepada Pengerusi bencana alam daerah bagaimana untuk menyampaikan bantuan secara segera dan secara selamatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kawasan banjir di daerah Beaufort di sini petang tadi.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menasihati penduduk agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarah untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Katanya, ia adalah bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk menghadapi banjir, selain memudahkan kerja-kerja penyelamatan pihak berkaitan.

Tinjauan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan.

Seramai lebih 200 Ketua Isi Rumah (KIR) terdiri lebih 500 orang ahli keluarga berjaya dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Selagon dan Dewan Bisaya, Beaufort.

Ia melibatkan mereka yang tinggal di Kg Suasa, Kg Bangkalalak, Kg Lupak, Kg Lubak, Kg Batu 6 Lumadan, dan Kg Luagan.