RUHIANG KIULU ADVENTURE CHALLENGE 2026 EDISI KE-8: SEMUA BERSIAP SEDIA!

Tamparuli, Bahang penganjuran Ruhiang Kiulu Adventure Challenge 2026 Edisi Ke-8 kini semakin terasa apabila persiapan giat dijalankan bagi memastikan acara pelancongan sukan ini berlangsung dengan jayanya.

Acara ini akan berlangsung pada 29 Mac 2026 di Tapak Tamu Tamparuli.

Satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Daerah, Hannevy W. Harry, dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan.

Turut hadir ialah wakil PPM Tamparuli, Jeffry Teo, wakil Sabah Tourism Board serta agensi-agensi tempatan lain bagi memastikan segala aspek keselamatan, logistik dan pengurusan acara berada pada tahap terbaik.

Setakat ini, lebih kurang 200 peserta mendaftar dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat menjelang tarikh tutup penyertaan.

Bagi edisi kali ini, dua kategori utama akan dipertandingkan:

Larian 10KM – Acara kompetitif terbuka kepada peserta lelaki dan wanita.

Kayuhan Santai 13KM – Aktiviti riadah berbasikal yang mesra komuniti – melibatkan penyertaan belia dan remaja.

Selain acara utama, pelbagai aktiviti sampingan turut dirancang bagi menjadikan program ini lebih mesra komuniti dan menarik kepada para pelawat, sekali gus merancakkan ekonomi setempat serta mempromosikan keindahan kawasan Kiulu dan Tamparuli sebagai destinasi pelancongan sukan.

Presiden Kelab Peminat Acara Lasak Sabah Labuan, Steve Johnny Mositun, dalam kenyataannya mempelawa lebih banyak agensi kerajaan dan sektor swasta untuk bersama-sama menjayakan acara ini melalui sokongan, penajaan dan penyertaan strategik.

Penganjuran tahun ini amat signifikan kerana ia bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan sukan dan aktiviti luar.

Orang ramai dijemput untuk menyertai dan memeriahkan Ruhiang Kiulu Adventure Challenge 2026 Edisi Ke-8 – satu platform yang menyatukan komuniti, kesukanan dan pelancongan dalam satu pengalaman yang penuh semangat dan mencabar.