
Rogol bawah umur, tukang kebun dipenjara 20 tahun dan dua sebatan

SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU: Seorang tukang kebun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Seksyen dekat sini atas kesalahan merogol.
Hamidey Mohamad berusia 31 tahun, dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Seksyen Azreena Aziz, mengaku bersalah atas dua pertuduhan kes merogol dua anak majikannya yang dibawah umur, tahun lalu.
Azreena memerintahkan Hamidey menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap dan hukuman berjalan secara berturut-turut.
Dia dipenjara 10 tahun dan dikenakan satu sebatan bagi pertuduhan pertama kerana merogol mangsa pertama (ketika itu berusia 13 tahun) pada pukul 1 pagi pada awal Februari 2021 di sebuah rumah di sini.
Hamidey dipenjara 10 tahun lagi dengan satu sebatan bagi pertuduhan kedua kerana merogol mangsa kedua (yang ketika itu berusia 14 tahun) pada jam 3 pagi pada 2 Mac tahun lalu di tempat yang sama.
Terdahulu, setiap pertuduhan dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.