Roboh dinding rumah elak api merebak

editor@bayunews.net

TAWAU (22 MAC): Kecekapan pasukan bomba merobohkan dinding rumah berhampiran mampu menyelamatkan rumah yang lain selepas sebuah kediaman dijilat api dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini, awal pagi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.58 pagi itu.

Seramai 15 anggota dan pegawai bersama empat jentera dikerah ke lokasi.

Setiba di tempat kejadian, pihaknya bertindak merobohkan dinding sebuah rumah berhampiran bagi mengelakkan api daripada terus merebak.

“Sumber air daripada jentera dan air laut membolehkan api dapat dikawal dan sebuah rumah sahaja musnah dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dilaporkan setakat ini.

Operasi ditamatkan pada jam 6.20 pagi.