
Ribut petir di pedalaman petang ini, mangsa banjir kekal 529 orang di Sabah

SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (3 NOV): Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan ribut petir di satu dua kawasan terutama di pedalaman pada sebelah petang dan malam di Sabah hari ini.
Jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih kekal 529 orang melibatkan 152 keluarga di daerah Tenom, Beaufort dan Kunak, setakat pagi ini.
Susulan hujan lebat berterusan dua hari lepas mengakibatkan beberapa lokasi di ketiga-tiga daerah itu ditenggelami air.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah berkata, Tenom membuka lima PPS selepas daerah itu mencatat jumlah paling tinggi seramai 443 orang menempatkan 139 keluarga.
Rumah Kebudayaan Makakagas menempatkan 117 mangsa daripada 32 keluarga; Rumah Kebudayaan Kalang Kanar (29 mangsa, tujuh keluarga), Rumah Kebudayaan Gunting (33 mangsa, tujuh keluarga), Rumah Kebudayaan Pagukon (214 mangsa, 78 keluarga), dan Kompleks Sukan Tenom (50 mangsa, 15 keluarga).
PPS di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir di Beaufort pula menempatkan 57 mangsa daripada 17 keluarga, manakala Dewan Kampung Airport Tun Fuad di Kunak menempatkan 28 mangsa daripada enam keluarga.