Rakyat hati-hati, jangan mudah terpengaruh fitnah di sosial media – Ruslan

Beaufort : Rakyat diingatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan serta fitnah yang disebarkan di media sosial, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, walaupun media sosial banyak memudahkan urusan komunikasi masyarakat, namun ada pihak yang menyalahgunakannya untuk menyebarkan pembohongan.

Katanya, tohmahan yang dilakukan itu adalah dengan tujuan merosakkan perpaduan rakyat serta menanam kebencian terhadap kerajaan.

“Media sosial hari ini memang cepat dan mudah, tetapi malangnya ia turut digunakan untuk menyebarkan fitnah.

“Kita lihat, ada pihak memutarbelitkan fakta semata-mata mahu menjatuhkan imej pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Perpaduan DHRM di Kampung Karangan di sini pada Sabtu.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, selain tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin, isu kematian melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina turut diputar belitkan.

“Terdapat juga mengebai isu membabitkan Allahyarhamah Zara, yang mana kandungan video palsu direka sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

“Namun, pelaku akhirnya ditangkap dan mengaku membuat konten berunsur fitnah itu.

“Semua ini membuktikan bahawa masyarakat perlu bijak menilai dan menyemak kesahihan maklumat, bukan terus mempercayai bulat-bulat apa yang dibaca atau dilihat di media sosial. Fitnah ini boleh merosakkan perpaduan yang kita bina sekian lama,” katanya.

Justeru, Ruslan menyeru rakyat supaya menggunakan kebijaksanaan dalam menilai maklumat terutama menjelang PRN, agar tidak termakan hasutan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik sempit.

“Apakah kita mahu menyokong pemimpin yang sanggup melakukan perbuatan tidak bermoral, menabur fitnah dan memecahbelahkan rakyat?.

“Sudah tentu rakyat perlu menolak mereka demi kestabilan negeri,” katanya.