PVRTM anjur konsert amal pada 22 Oktober depan
KOTA KINABALU (14 SEPT): Persatuan Veteran RTM (PVRTM) akan menganjurkan konsert amal The Cloth Concert yang akan diadakan di IOI Putrajaya pada 22 Oktober depan.
Pereka fesyen terkemuka Zang Toi dan Datuk Tom Abang Saufi serta penghibur Annuar Zain dan Ning Baizura antara personaliti yang akan bergabung tenaga membuat persembahan dalam konsert itu nanti.
Presiden PVRTM, Zohara Gany Mhd. Batusha berkata konsert yang dinaungi oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor itu turut menampilkan beberapa pereka fesyen veteran dan baharu yang lain serta penyanyi lama dan yang sedang meningkat naik.
“Pereka lain yang telah mengesahkan penyertaan termasuklah Rizman Ruzaini, Carven Ong, Calvin Thoo, J Khan, Wan Bynun, Yans Creation, Huda, Nina B Nina, Sharifah Kirana dan Melinda Omar.
“Manakala artis lain yang terlibat adalah Azlina Aziz, Datin Alyah, Stacy, Noryn Aziz, Mimifly dan pemain saksofon, JARI,” katanya pada sidang media konsert itu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengenai konsep persembahan, Zohara berkata PVRTM menamakan acara itu The Cloth Concert dan bukan The Fashion Concert kerana asal usul fesyen bermula dengan sehelai kain.
“Kami ingin mengetengahkan kain atau tekstil tradisional tempatan seperti songket, batik, tenun dan pua kumbu.
“Titik permulaan rekaan baju bermula daripada sehelai kain yang berasal daripada kapas. Kapas ditanam, dijadikan benang, ditenun menjadi kain dan seterusnya dibuat baju. Justeru, semua ini akan dijelmakan dalam The Cloth Concert,” katanya.
Zohara berharap konsert yang dianjurkan dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia dan Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia akan mewujudkan kesedaran dalam kalangan audien mengenai keunikan tekstil tradisional tempatan.
“Ia sekali gus dapat mengembalikan kegemilangan tekstil tradisional sebagai busana kebangsaan turun-temurun dan mahukan lebih banyak rekaan fesyen tempatan daripada tekstil tradisional kita berada di pasaran global.
“Kami menghargai idea kreatif daripada pelbagai bidang dan acara ini tempat berhimpunnya pereka fesyen serta bintang terkemuka industri hiburan kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Zohara berkata beliau yakin konsert ini akan berjaya mencapai sasaran untuk mengumpul dana bagi mengisi tabung kebajikan persatuan itu yang turut dianggotai bekas kakitangan kontrak dan sambilan tidak berpencen.
Katanya, ini kali kedua PVRTM mengadakan persembahan konsert berskala besar.
“Tiga tahun lalu kami pernah menganjurkan Konsert Amal Diraja ‘Malam Bulan Dipagar Bintang’ bersempena ulang tahun keputeraan ke-74 DYMM Sultan Selangor di Istana Budaya,” kata Zohara.
PVRTM yang didaftarkan pada 1996 kini mempunyai lebih 1,200 ahli daripada semua bidang termasuk penerbitan, teknikal dan perkhidmatan sokongan.
Sumber: Utusan Borneo