
Pusat warisan pendidikan berpotensi sebagai pusat pelancongan

editor@bayunews.com
Tuaran: Pusat Warisan Pendidikan Kent di kampus lama Institusi Pendidikan Guru Kent berpotensi sebagai pusat pelancongan berasaskan pendidikan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pihaknya akan berusaha untuk menyegerakan proses realisasi pewartaan pusat terbabit sebagai “Warisan Negeri Sabah” kepada kerajaan negeri.
“Status warisan yang terdapat di kampus lama IPG Kampus Kent akan memberi impak positif terhadap perkembangan Pelancongan Berasaskan Pendidikan (Edu-Tourism) serta dapat dijadikan rujukan sejarah pembangunan profesion perguruan tertua di Sabah.
“IPGK Kent Tuaran sedang menyiapkan kertas kerja berkaitan agar proses dan perbincangan seterusnya dapat dilakukan oleh kerajaan dan kementerian pendidikan untuk membantu dalam merealisasikan hasrat tersebut kerana ia memang sesuai dan disokong penuh.
“Nilai sejarah Maktab Perguruan Kent iaitu Dewan Hone merupakan bangunan pertama sudah tentulah kita ingin melihatnya terpelihara sebagai tapak warisan.
“Jadi, nilai sejarah tersebut ada dan saya yakin sekiranya kita membuat promosi bersama dengan Maktab Kent tempat ini mampu menjadi salah satu tarikan pelancongan di daerah Tuaran,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Sempena Jubli Platinum IPGK Kent Tuaran Kali Ke-70 Tahun 2022, pada Selasa.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan Peranti Siswa kepada 20 pelatih guru sebagai simbolik kepada 335 guru dari golongan B40 terpilih.
Hadir sama, Timbalan Pengarah IPGK Kent, Datin Dr. Rosinah Edinin, Ketua Jabatan, Jabatan Kecemerlangan Akademik IPG Kampus Kent, Harun Sarail dan Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Sains Sosial merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Jubli Platinum IPGK Kent Tuaran Kali Ke-70 Tahun 2022./Penerangan-