Pusat Dalisis pesakit buat pinggang diwujud di Tenom
TENOM (10 FEB): Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, menyokong penuh hasrat dan cadangan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) untuk mewujudkan Pusat Dialisis di daerah yang merekodkan bilangan pesakit buah pinggang yang tinggi, tidak terkecuali daerah Tenom.
Riduan berkata beliau selalu menerima aduan dan keluhan daripada warga Tenom yang sukar mendapatkan rawatan dialisis di daerah Tenom, yang berpunca daripada mesin rawatan sedia ada di Hospital Daerah Tenom tidak dapat menampung permintaan yang ramai.
“Daerah Tenom dan daerah kecil Kemabong mempunyai ramai pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga hari rawatan dalam seminggu.
“Namun kekurangan mesin dialisis di hospital kerajaan telah menyebabkan ramai pesakit tidak dapat menerima rawatan yang sewajarnya.
“Kekangan itu telah menyebabkan kebanyakan pesakit buah pinggang terpaksa ke Hospital Keningau, mahupun klinik swasta di Keningau untuk mendapatkan rawatan itu.
“Kos rawatan yang sangat tinggi sehingga pesakit perlu membayar sebanyak RM200 untuk satu sesi sahaja, amat membebankan pesakit buah pinggang dan keluarga mereka,” katanya.
Jelasnya, lebih teruk lagi ialah apabila pesakit buah pinggang tidak meneruskan rawatan akibat kekangan dan masalah kewangan sehingga mereka menanggung kesakitan dan akhirnya meninggal dunia.
“Saya sedia memberikan kerjasama kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan membantu sedaya yang mungkin agar sebuah pusat dialisis dapat segera diwujudkan di daerah Tenom.
“Hasil pertemuan saya dengan Datuk James Ratib semasa menghadiri Majlis Hari Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Stanley Chong baru-baru ini, James telah bersetuju secara dasarnya agar Tenom diberikan keutamaan untuk mewujudkan pusat dialisis pertama dibawah kementerian beliau.
“Saya berharap usaha ke arah mewujudkan pusat dialisis di Tenom dapat disegerakan, demi rakyat dan pesakit yang amat memerlukan rawatan hemodialisis,” katanya.