
PRU15 : 10 kawasan ‘hotspot’ dikenal pasti di Sabah – Polis

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU: Polis Sabah akan memberi kawalan keselamatan yang lebih ketat di 10 buah kawasan ‘hot spot’ di negeri ini bagi memastikan proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjalan lancar tanpa ada insiden tidak diingini berlaku.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, selain itu, pihaknya turut mengenal pasti sebanyak 86 kawasan yang sukar dilalui menggunakan kenderaan biasa dan memerlukan bantuan perkhidmatan helikopter.
“Antara kawasan ‘hot spot’ yang dikenal pasti ialah Parlimen Sepanggar; Kota Kinabalu; Putatan; Papar; Kudat; Libaran; Sandakan; Lahad Datu; Semporna dan Tawau.
“Selain itu, 86 kawasan dikenal pasti sebagai kawasan yang sukar dilalui kenderaan biasa dan memerlukan bantuan perkhidmatan helikopter bagi tujuan penghantaran peti-peti undi ke kawasan terlibat.
“Ia melibatkan 11 kawasan Parlimen iaitu Beluran; Pensiangan; Kudat; Kinabatangan; Sipitang; Tenom; Kota Marudu; Ranau; Penampang; Kota Belud dan Semporna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 7,028 orang petugas terdiri akan bertugas sepanjang PRU15 dijalankan selain mendapat bantuan daripada pihak RELA iaitu seramai lebih kurang 4,370 serta Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) seramai 604 orang.
Dalam pada itu, Idris berkata, sehingga kini sebanyak 26 buah tempat yang akan dihadikan sebagai Pusat Penamaan Calon yang akan diadakan esok.
Katanya, seramai 2,141 petugas terdiri daripada pegawai dan anggota akan bertugas pada proses penamaan calon.
“Pihak polis turut menasihatkan agar semua penyokong mana-mana parti politik yang hadir semasa penamaan calon kelak agar tidak menimbulkan sebarang provokasi.
“Selain itu, adalah diingatkan untuk tidak meletakkan kenderaan yang boleh menghalang lalu lintas selain tidak menggunakan dron di pusat penamaan calon dimana penggunaannya adalah tidak dibenarkan dan dilarang sama sekali,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis turut menyeru semua calon, ejen serta penyokong agar sentiasa mematuhi dengan sepenuhnya sekatan-sekatan yang dinyatakan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, serta peraturan-peraturan yang berkaitan dengannya.
“Semua yang hadir di pusat penamaan calon juga hendaklah mematuhi arahan semasa pihak polis yang bertugas demi kelancaran PRU15,” katanya.