PRU-15 : KDM umum dua calon, tanding di Kimanis dan Sepanggar

Wartawab Bayu News
editor@bayunews.com

KOTA KINABALU : Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengumumkan dua lagi calon hari ini untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden KDM Datuk Peter Anthony berkata, calon yang diumumkan itu akan bertanding di kerusi Parlimen Kimanis dan Sepanggar.

“Pada hari ini saya umumkan calon untuk parti KDM di Kimanis adalah Ahmad Md Yusof,62, mantan kakitangan Kerajaan dan sekarang seorang usahawan yang berjaya.

“Kita berharap pencalonan beliau ini akan dapat merubah keadaan di Kimanis.  Kita sememangnya memerlukan pemimpin berwawasan dan berkaliber, saya percaya beliau dapat membantu kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Parti KDM di Kepayan Point di sini hari ini.

Peter berkata, parti KDM turut memutuskan untuk mencalonkan Jumardie Lukman,40,untuk bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Sepanggar.

“Ini antara yang kita tampilkan pada hari ini.  Calon-calon lain kita akan umumkan sebelum penamaan calon.  Tapi pada Sabtu ini akan ada lagi kita umumkan mungkin dua atau tiga calon lagi,” katanya.

Pengumuman itu sekali gus menjadikan empat calon parti KDM bakal bertanding pada PRU-15 ini.

Sebelum ini, Peter telah mengumumkan Datuk Wetrom Bahanda sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu dan Dato Seri Liaw Kit Siong yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu.

Sementara itu, Peter berkata, pihaknya masih dalam pertimbangan dan akan memutuskan sama ada parti itu akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen atau sebaliknya.

“Kita tengah pertimbangkan permintaan dari rakan-rakan yang sememangnya mempunyai kualiti yang begitu tinggi dan pengalam yang luas.  Tetapi kita akan putuskan dalam masa terdekat.

“Kita juga ada menerima permohonan daripada kawasan pedalaman seperti Tawau, Sandakan dan beberapa tempat lain,” katanya.

Peter sebelum ini turut memaklumkan bahawa KDM akan bergerak solo pada PRU-15 yang akan diadakan pada 19 November depan.