
Projek mendalamkan sungai Lubok bantu tingkat ekonomi nelayan

Beaufort : Projek mendalamkan Sungai Lubok Weston sepanjang 2.9 kilometer di sini berupaya membantu urusan para nelayan untuk turun ke laut mencari sumber pendapatan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, pelaksanaan projek bagi fasa pertama itu kini sedang giat dilaksanakan dan dijanhka siap hujung tahun ini.
Bagaimanapun, ianya adalah bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
“Hari ini kita melihat sejauh mana perjalanan kerja-kerja mendalamkan aluh Sungai Lubuk ini, dimana sungai ini sangat diperlukan untuk didalamkan oleh para nelayan kita kerana para nelayan kita mempunyai kesukaran untuk turun ke laut.
“Oleh sebab itu kita telah pun mendapatkan peruntukan ini daripada pusat dan negeri. Kita dapat peruntukan ini dan ia dapat dilaksanakan tahun ini.
“InsyaAllah pada hujung tahun ini juga ianya akan disiapkan, melihat situasi air pasang surut. Sudah tentu dengan siapnya projek ini akan lebih mudah untuk para nelayan turun ke laut tanpa melihat air pasang surut yang menyukarkan mereka untuk turun ke laut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program simbolik perasmian Aluh Sungai Lubok Weston di sini hari ini.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri turut berharap para nelayan dapat terus meningkatkan keperluan dan pendapatan ekonomi mereka.
“Semoga kerja-kerja mendalamkan Aluh Sungai Lubok Weston ini berjalan dengan lancar dan siap seperti yang telah ditetapkan demi kesejahteraan rakyat khususnya para nelayan di Kg Lubok dan sekitarnya,” katanya.