Program Simulasi Haji Cilik beri peluang 1,500 peserta rasai pengalaman Tawaf dan Saie

KOTA KINABALU: Seramai 1,500 peserta cilik dari 53 Tadika dan Sekolah Rendah Agama seluruh Sabah telah menyertai program Simulasi Haji Cilik Negeri Sabah kali ke-7 yang dianjurkan oleh Persatuan Tadika Islam Swasta Sabah (PERTIS).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program itu merupakan simulasi kanak-kanak cilik terbesar yang pernah diadakan di negeri itu.

“Pelaksanaan Program Simulasi Haji Cilik merupakan inisiatif terbaik dalam memberi pendedahan awal serta pengalaman kepada anak kecil.

“Program ini memberi peluang bagi merasai pengalaman tawaf dan saie dalam kalangan anak kecil sekali gus menanam semangat serta kefahaman peserta mengenai konsep dan amalan ibadah haji terutamanya kebesaran Allah SWT,” katanya dalam ucapan perasmian Simulasi Haji Cilik Negeri Sabah Kali Ke-7.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, setiap rukun-rukun yang terdapat dalam ibadah Haji ini mempunyai makna dan simbolik yang tersendiri.

“Saya dimaklumkan bahawa sepanjang simulasi ini peserta Haji Cilik diperkenalkan dan diberi pengalaman untuk merasai suasana perlaksanaan rukun-rukun seperti cara berihram, Tawaf mengelilingi Ka’abah Saie dari Bukit Safa ke Bukit Marwa, Wukuf di Arafah, melontar di Jamrah, sembelihan korban dan tahallul,”katanya.