Program Santai bersama Komuniti di DUN Lumadan merapatkan perpaduan masyarakat

Beaufort : Pelaksanaan Program Santai Pemimpin Bersama Komuniti khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan mampu merapatkan hubungan dan perpaduan masyarakat setempat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, program yang turut dihoskan stesen radio Sabah VFM itu juga memberi peluang penduduk setempat untuk bertemu penyampai radio secara lebih dekat.

“Kita telah pun bersama-sama rombongan dari sebuah stesen radio Sabah VFM pada Program Santai Pemimpin Bersama Komuniti yang mana turun ke lapangan untuk bersama-sama komuniti yang berbilang etnik di DUN Lumadan.

“Ini termasuklah suku masyarakat murut, kadazan dusun, cina dan melayu yang terdapat di sini. Saya lihat program ini sangat dekat dihati rakyat dimana kita dapat merapatkan hubungan kaum dan sekaligus mengukuhkan perpaduan masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santai Pemimpin Bersama Komuniti di Dewan Laboi, Kg Luagan, di sini.

Ruslan yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, selain bertemu komuniti, para penyampai radio Sabah VFM juga berpeluang merasai kehidupan penduduk setempat seperti menyusuri sungai dan menangkap lokan.

Program santai itu di hostkan penyampai radio SabahVFM dengan pelbagai aktiviti yang menarik seperti sesi soalan jawab dan juga pertandingan karaoke lagu Dusun Murut.

Siaran radio SabahVFM merupakan sebuah radio pelbagai bahasa seperti bahasa Dusun, Murut, Bajau, Bahasa Cina, Bahasa English dan lain lain.

Program itu memberi peluang masyarakat sekitar Kg Luagan dan sekitarnya bertemu dengan para penyampai radio dan Ging Bubut SabahVfm secara langsung yang mana selama ini hanya dengan di corong radio dan juga live di Tiktok.