KOTA KINABALU: Program Rebat Khas 25 peratus Kumpulan Yayasan Sabah yang berakhir pada 30 September 2022 dilanjutkan selama tiga bulan lagi, iaitu sehingga 31 Disember 2022.
Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar, program ini dilanjutkan susulan daripada sambutan yang amat menggalakkan daripada para peminjam.
“Sebelum ini, rebat 25 peratus hanya diberikan kepada para peminjam pengajian yang ingin memendekkan tempoh bayaran sekurang-kurangnya sebanyak 75 peratus daripada tempoh pembayaran balik yang ditetapkan.
“Kini melalui program rebat khas 25 peratus ini, para peminjam tanpa mengira tempoh pembayaran yang dipendekkan, layak mendapat rebat sebanyak 25 peratus berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan,” jelas beliau.
Beliau turut berharap melalui program ini, Kumpulan Yayasan Sabah dapat mengutip lebih banyak pembayaran pinjaman pengajian Kumpulan Yayasan Sabah, agar dapat mengumpul lebih banyak dana bagi meneruskan program tajaan pendidikan untuk pelajar pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar juga menyatakan para peminjam yang berminat mestilah menandatangani surat akuan penerimaan rebat yang disediakan. Kumpulan Yayasan Sabah turut mempelbagaikan kemudahan pembayaran demi mempermudah para peminjam membuat pembayaran.
Sepanjang program ini, para peminjam dapat melakukan pembayaran melalui pembayaran dalam talian.
“Para peminjam mempunyai pelbagai pilihan pembayaran digital, seperti aplikasi Maybank2u untuk pelanggan Maybank di samping perpindahan menggunakan telegraf dan JomPAY untuk pelanggan bank lain. Sebagai alternatif, kami juga menerima pembayaran yang dibuat melalui Arahan Tetap Bank, draf bank dan cek.
“Peminjam juga boleh mengunjungi kaunter pembayaran kami yang terletak di Aras 6, Menara Tun Mustapha, Teluk Likas atau Pejabat-pejabat Zon kami di Beaufort, Kota Marudu, Keningau, Sandakan dan Tawau,” katanya.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Program Rebat Khas 25 peratus ini, orang ramai boleh melayari laman web Kumpulan Yayasan Sabah di http://www.yayasansabahgroup.org.my, melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, menghubungi 088-326300 (samb. – 1716, 1242 & 1246) atau emel kepada bayaranbalikpengajian@ysnet.org.my. – Oleh Haz Fakhrullah






