Program Perumahan Rakyat masih dalam status Disewa golongan berpendapatan rendah

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (1 DIS): Hak milik rumah dibawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negeri ini masih diletakkan dalam status skim PPR Disewa bagi golongan rakyat berpendapatan rendah.

Berucap dalam kenyataan itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia bertujuan memberi kemudahan kepada mereka yang dikategorikan sebagai rakyat berpendapatan rendah untuk mendiami rumah-rumah PPR.

Katanya, rumah PPR dianggap sebagai tempat tinggal sementara sehingga mereka mampu memiliki rumah yang lain dan selepas berpindah rumah PPR berkenaan perlu dikosongkan untuk diberikan kepada keluarga yang lain.

“Berhubung isu penempatan mangsa kebakaran di Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Simunul, ingin saya maklumkan di sini bahawa bagi mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau, kawasan penempatan semula telah dikenalpasti.

“Ianya melibatkan 233 buah rumah dengan 383 orang Ketua Isi Rumah (KIR). Maklumat ini telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pelaksana yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan projek penempatan semula ini.

“Manakala bagi mangsa-mangsa kebakaran Kampung Simunul, seramai 189 ketua isi rumah telah ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria secara sewa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Dalam pada itu, Masidi berkata, Majlis Perbandaran Sandakan telah pun menjalankan bancian di kawasan setinggan belakang Petronas dan mendapati terdapat 109 buah rumah yang terlibat.

Katanya, bilangan rumah warganegara adalah sebanyak 89 buah rumah dan sebanyak 20 buah rumah bukan warganegara.

“Pihak Majlis telah mengambil maklum dan mempertimbangkan untuk penduduk warganegara yang terlibat dengan perobohan tersebut ditempatkan di mana-mana PPR di daerah Sandakan tetapi pada masa ini, semua lot rumah PPR yang sedia ada telah penuh.

“Walau bagaimanapun mereka akan diberi keutamaan dalam pengisian sekiranya ada kekosongan nanti,” katanya.