
Program Kerja Sosial UMS anjur Program Komuniti bersama penduduk Kampung Tinusa 2 di Sandakan

editor@bayunews.net
SANDAKAN (19 JAN): Seramai 22 orang pelajar Program Kerja Sosial daripada Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai Program Komuniti Siri 2/2023 dekat sini, baru-baru ini.
Program yang dianjurkan bermula 13 sehingga 15 Januari lepas turut melibatkan penduduk Kampung Tinusa 2.
Ketua Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Dr. Wanda Kiyah Anak George Albert berkata program terbabit dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar untuk bekerjasama dan memahami sesebuah komuniti.
“Selain itu ia bertujuan untuk membantu komuniti tempatan mengenal pasti, merancang dan membuat tindakan untuk memenuhi keperluan mereka dengan mendedahkan mereka dengan bantuan sumber-sumber dan perkhidmatan yang terdapat dalam komuniti mereka.
“Pendedahan kepada perkhidmatan dan bantuan yang disediakan oleh profesion kerja sosial ini dapat membantu komuniti tempatan berfungsi dengan lebih efektif, berkemampuan dan berkeupayaan mendapatkan apa yang diperlukan oleh mereka berdasarkan kepada permasalahan yang dialami,” kata Wanda Kiyah dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau turut menyatakan program terbabit turut dipelajari oleh pelajar tahun pertama, kedua dan tahun akhir dalam fakulti terbabit.
Katanya, menerusi program ini, beliau berharap sedikit sebanyak dapat mendedahkan pelajar dengan praktis kerja sosial sebenar yang dijalankan bersama komuniti dan seterusnya mampu menjadikan komuniti atau masyarakat cakna kepada profesion kerja sosial.
Ketua Kampung Tinusa 2, Norsidy Lumby dalam kenyataan yang sama mengatakan program terbabit yang julung kalinya diadakan di kawasan pantai timur khususnya daerah Sandakan telah berjaya mengeratkan silaturahim antara komuniti kampung itu.