
Program Kembara Ilmu dan Doa Rakyat Sabah untuk Palestin terus melakar sejarah

Beaufort : Program Kembara Ilmu dan Doa Rakyat Sabah untuk Palestin terus melakar sejarah apabila buat pertama kali ia dilaksanakan secara menyeluruh dari sekolah hingga ke surau khususnya di kampung-kampung.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, program yang diadakan sejak 11 Mei lalu itu bukan sahaja menumpukan kepada pengisian kerohanian, tetapi juga menjadi platform menyuntik semangat anak-anak muda untuk terus berjuang menuntut ilmu.
Katanya, ia termasuk mereka yang berada di sekolah luar bandar seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston dan SMK Gadong.
“Kami datang membawa doa, semangat dan harapan. Anak-anak ini adalah pelapis kepimpinan negeri, negara dan pewaris perjuangan agama.
“Kita doakan mereka tenang dan cemerlang dalam pelajaran mereka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sentuhan Ulama Dunia di SMK Weston di sini.
Program kali ini menampilkan seorang ulama terkenal dari Syria, yang biasanya hanya hadir di masjid besar di bandar-bandar utama.
Namun kali ini, pendekatannya berubah apabila dibawa terus ke surau-surau dan masjid kampung.
“Inilah perubahan. Kita mahu ilmu sampai ke akar umbi, bukan hanya di tempat elit. Bila ulama turun ke kampung, barulah silaturahim terjalin, pendedahan pun menyeluruh. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Program yang bermula sejak 11 Mei itu akan berakhir pada 25 Mei di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, dan dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada jam 8 malam.