Program Amazing Youth Race semarak semangat kemerdekaan

KOTA KINABALU : Program Amazing Youth Race menyemarakkan semangat kemerdekaan terutama kepada golongan belia.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Andi Suryady Bandy berkata, tujuan penganjuran program berkenaan adalah untuk meningkatkan semangat kenegaraan masyarakat khususnya di Sabah.

“Melalui program ini, saya berharap agar semangat patriotisme dan cinta akan negara dapat dipupuk dalam kalangan belia.

“Program Amazing Youth Race merupakan salah satu pengisian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah sempena bulan kebangsaan 2022 melibatkan pelbagai acara antaranya Senam Cergas Sabah Maju Jaya, Aerofithon Keluarga Malaysia, gotong-royong, Fun Ride Hari Kebangsaan dan pameran Belia Berinovasi & Kreatif. 

“Selain itu juga, saya ingin mengingatkan kepada golongan belia untuk sentiasa mengenang jasa-jasa pemimpin terdahulu kerana tanpa perjuangan mereka, kita tidak akan berada di tempat kita pada hari ini,” ujarnya ketika ditemui media selepas merasmikan program berkenaan di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Andi berkata, kontinjen Sabah menyasarkan 40 pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 yang akan diadakan di Kuala Lumpur, September depan.

“Setakat ini, persediaan serta persiapan berjalan dengan lancar dan diharapkan agar para atlet berjaya mencapai sasaran sekaligus mengharumkan nama negeri,” tambah beliau.

Dalam majlis yang sama, Andi turut menyampaikan Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan Sabah kepada pelajar Kolej Vokasional Keningau, Alesyah Asa, satu-satunya pelajar Malaysia yang terpilih sebagai salah seorang calon 50 pelajar terbaik bagi anugerah Global Student Prize 2022.

Hadir sama, Setiausaha Tetap KBS, Mansur Asun, Timbalan Setiausaha Tetap Pengurusan Belia, William Ahlan, Timbalan Setiausaha Tetap KementProgerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Wilson Terrence Thomas dan Pengurus Besar Lembaga Sukan, Terrence Edward Pudin.