Pratama Legacy dari Sabah rangkul kejuaraan Festival Tari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (20 DIS): Kumpulan Pratama Legacy sekali lagi melakar kejayaan buat negeri Sabah selepas berjaya dinobatkan selaku johan dalam Festival Tari Malaysia 2022 di Istana Budaya, Kuala Lumpur yang berlangsung pada 18 dan 19 Disember, baru-baru ini.
Keyakinan dan semangat yang berkobar-kobar untuk membawa kejayaan kepada negeri Sabah membakar semangat 13 anak muda kumpulan ini untuk berentap di peringkat kebangsaan akhirnya membuahkan hasil yang sangat membanggakan.
Hasil garapan dan juga susun atur gerak tari oleh koreografer Achai Kiran menarik perhatian para juri profesional memilih Pratama Legacy kumpulan dari Sabah diangkat sebagai johan untuk edisi tahun ini.
Achai Kiran turut dianugerahkan Koreografer Terbaik bagi kategori tarian etnik kreatif.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mesran Mohd Yusop berkata, anjuran berkenaan memberi peluang kepada koreografer dan penari mempelajari serta mempamerkan persembahan berkualiti dan bermutu tinggi.
Katanya, program itu juga antara lain bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang koreografi dan seni tari serta membantu dalam menyemarakkan seni dan budaya di Malaysia.
“Festival ini juga dapat memberikan kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembangkan budaya bangsa serta pembinaan keperibadian di kalangan masyarakat melalui seni tari.
“Kejayaan anak muda negeri Sabah ini membuktikan bahawa Sabah memiliki keunikan dan semangat cintakan warisan khazanah yang tinggi.
“Kumpulan ini telah banyak memenangi pertandingan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Semoga pada tahun-tahun mendatang akan lebih banyak kumpulan-kumpulan dari negeri Sabah yang akan berentap di Festival Tari Malaysia, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebanyak lapan kumpulan telah terpilih dari seluruh Malaysia untuk berentap di peringkat akhir.
Kumpulan Nyala Dance telah dinobatkan sebagai penyandang Naib Johan manakala Tempat Ketiga oleh kumpulan Akar Seni Malaysia.
Terdahulu, Pratama Legacy turut merangkul Anugerah Kareografer Terbaik, Achai Kiran dan Anugerah Penari Wanita Terbaik, Rosmitha Rebecca Kanalius dalam Festival Tari Malaysia peringkat Negeri Sabah pada awal September tahun ini.