Polis diminta siasat dalang fitnah anak Ketua Menteri

 

Kota Kinabalu : Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap dalang yang jelas cuba mengaibkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dengan cara memfitnah kononnya anak beliau terlibat dalam kartel dadah.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, paparan dalam media sosial itu bukan setakat palsu malah ia juga satu kesalahan disisi undang-undang.

“Ini kerana secara terang-terangan membuat tuduhan liar bertujuan mencemar nama baik keluarga Ketua Menteri Sabah.

“Tindakan jijik ini jelas bukan saja merupakan usaha menjejaskan imej Ketua Menteri tetapi juga Gagasan Rakyar dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh beliau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nizam turut mempersoal mungkinkah taktik kotor ini didalangi oleh pihak yang sebelum ini cuba menjatuhkan kerajaan negeri yang diterajui GRS tetapi gagal.

Katanya, dalang itu kini dilihat sudah ketandusan modal dan terdesak sehingga menyebarkan cerita yang direka-reka demi meraih sokongan politik.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab ini harus ingat rakyat kini bijak menilai dan sudah pasti akan menolak pihak yang menggunakan taktik kotor dengan cara menyebarkan fitnah.

“Melalui laporan polis yang telah dibuat oleh Mohd Reza Hajiji di Tuaran semalam diharapkan siasatan dapat dijalankan agar dalang tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.