
Petron lokasi bantuan kecemasan buat orang awam di Sabah

PENAMPANG (21 OKT): Stesen minyak Petron dekat sini dijadikan sebagai lokasi selamat orang awam bagi mendapatkan bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan.
Keprihatinan Petron dalam mengutamakan keselamatan masyarakat dalam menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah matlamat mencapai program Go Safety Point (GTSP).
Program GTSP adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat melalui kehadiran polis di stesen Petron selain membolehkan penerimaan respon yang lebih cepat melalui panggilan yang dibuat dari stesen ini.
Keadaan ini menjadikan stesen Petron sebagai tempat perlindungan yang selamat untuk orang ramai sewaktu berhadapan situasi kecemasan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata program GTSP meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa stesen Petron adalah tempat yang selamat untuk ditujui semasa berhadapan situasi dimana mereka memerlukan pertolongan dari pihak lain.
“Sekiranya seseorang individu atau masyarakat berada jauh daripada balai polis atau hospital, stesen Petron adalah tempat baharu yang sesuai untuk berlindung dan mendapatkan pertolongan.
“GTSP juga menyediakan sudut ‘de-stress’ yang menyediakan ruang selesa untuk bertenang dan dilengkapi dengan peti pertolongan cemas, kerusi, selimut dan papan maklumat keselamatan yang mengandungi nombor telefon kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan program GTSP dan simulasi situasi kecemasan di stesen Petron Minintod di sini.
Sementara itu Ketua Perniagaan Runcit Petron Shaliza Mohd Sidek berkata kakitangan stesen Petron dilatih untuk memberi bantuan awal kepada orang ramai semasa berlakunya kecemasan sementara pihaknya menghubungi agensi keselamatan berkaitan untuk bantuan lanjut.
“Petron Malaysia adalah syarikat minyak pertama yang mengaplikasi GTSP dimana Sabah menjadi negeri kedua di Malaysia yang melancarkan program ini.
“Kakitangan stesen servis Petron menerima latihan berkala yang dianjurkan bersama PDRM bagi memastikan bantuan yang diberikan sentiasa dikemas kini dan siap sedia bagi menghadapi situasi kecemasan,” katanya.