Persatuan Anak Malaysia bersama Athena Forwarding lancar misi kemanusiaan di Kg Forest Sandakan
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
SANDAKAN (3 JAN): Susulan fenomena air pasang dan ombak besar yang membadai kediaman penduduk di Kampung Forest pada penghujung Disember lepas telah membawa Persatuan Anak Malaysia Sabah (PAMS) dengan kerjasama Athena Forwarding Sdn. Bhd mengambil inisiatif melancarkan misi kemanusiaan, dekat sini.
Sumbangan berupa air botol dan makanan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan (MD) Athena Forwarding, Encik K.T.Tan kepada Ahli Parlimen Sandakan, Cik Vivian Wong Shir Yee.
Pengerusi PAMS, Encik Rosdy Wasli berkata, persatuannya telah melancarkan misi kemanusian membantu mangsa fenomena air pasang dan ombak besar sejurus bencana alam itu melanda pada 25 Disember 2022 lalu.
“Usaha ini telah dilaksanakan melalui konvoi Misi Kemanusian dari Kota Kinabalu ke Sandakan”.
“PAMS dikenali sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cukup aktif membantu rakyat ditimpa musibah baik kejadian kebakaran, banjir, tanah runtuh, COVID-19 dan sebagainya,” katanya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan itu.
Rosdy turut berkesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada K.T.Tan diatas kesudian beliau turun padang mengagihkan sumbangan kepada mangsa di Kg Forest.
Katanya, usaha seumpama itu akan diteruskan sebagai salah satu program khidmat masyarakat (CSR) bersama rakyat yang memerlukan bantuan.
Terdahulu, fenomena air pasang besar pada 24 Disember lepas telah merobohkan 110 kediaman bertiang atas air di sini dan 70 buah yang lain turut musnah.