![](https://borneotimes.net/wp-content/uploads/2022/09/bung.jpeg)
Perpaduan kaum, kesepaduan sosial kunci utama bina kemakmuran dan keharmonian negara: Bung Moktar
![avatar](https://borneotimes.net/wp-content/uploads/2024/01/bt-favicon-40x40.png)
KOTA KINABALU (15 SEPT) : Perpaduan kaum, kesepaduan sosial dan integrasi nasional merupakan kunci utama untuk membina keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar) berkata tiga eleman ini penting dan merupakan kekuatan menghadapi cabaran mendatang bagi memastikan negara kekal aman dan terus makmur.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab memastikan kelestarian, keharmonian dan kemakmuran negara ini bertahan dalam satu ikatan perpaduan yang utuh selari dengan tema Hari Malaysia ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ tahun ini,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada malam Sabtu ini.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah 2022 berkata, sekiranya rakyat Malaysia bersatu hati dan tahu peranan masing-masing ianya mampu membendung perbuatan segelintir golongan bersikap ekstremis dalam menabur fahaman perpecahan dan menyemarak api perkauman sekali gus mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi.
Sehubungan itu, penyatuan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ perlu di hayati dan difahami bagi membawa kemajuan bersama, antaranya pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi, komunikasi dan kemudahan asas, meskipun masih banyak yang perlu dilakukan dan diperbaiki.
“Tanggal 16 September, Hari Malaysia tidak kurang pentingnya dengan Hari Kemerdekaan, ia perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa agama dan ideologi politik, kita harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia,” katanya.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia perlu disemai terutamanya dalam kalangan generasi muda supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak yang akhirnya melemahkan sistem persekutuan, selain menghancurkan kedaulatan negara pada jangka panjang.
Menurutnya, generasi muda sebagai pewaris dan merupakan kelompok terbesar mengisi ruang populasi kependudukan negara dimana peranan mereka amat diperlukan bagi meneruskan agenda pembangunan negara pada masa hadapan.
Tambahnya, anjakan paradigma, memiliki semangat patriotisme, akhlak yang baik serta pentingnya ketinggian falsafah ilmu hendaklah disemai dalam minda golongan muda bagi meneruskan agenda pembangunan negara.
“Golongan muda wajar memenuhi masa dengan ilmu dan mencari sebanyak mungkin pengalaman berharga untuk persediaan menempuh dunia yang lebih mencabar. Apatah lagi dunia hari ini bukan sahaja mempertaruhkan keperkasaan semata-mata, bahkan apa yang lebih penting ketajaman pemikiran untuk menentukan untung nasib seseorang,” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar turut mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia dan mengajak rakyat khususnya di Sabah menzahirkan kesyukuran kerana perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.
Pelbagai acara siap diatur bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia Peringkat negeri Sabah kali ini, antaranya upacara menaikkan jalur gemilang dan bendera negeri Sabah, persembahan khas ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ oleh artis-artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, persembahan artis-artis tempatan, dan upacara memotong kek Hari Malaysia 2022.
Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dijadualkan hadir ke majlis ini.
Sumber: Seybi Sabby