Perkhemahan Perdana Unit Beruniform Sk Sungai Damit Tuaran gilap potensi murid capai kecemerlangan
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
TUARAN (26 JAN): Seramai 58 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Sungai Damit di sini terlibat dalam Program Perkhemahan Perdana Unit Beuniform, baru-baru ini.
Menurut Penyelaras Program Matin Setoh berkata, program ko-kurikulum seumpama itu merupakan satu medan untuk menguji kebolehaan dan kemantapan pasukan beruniform.
“Ia dirancang khas untuk semua unit beruniform yang berdaftar di sekolah ini.
“Pelbagai aktiviti telah dilakukan antaranya memasang khemah secara berkumpulan, larian berhalangan dan malam punggok, katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga merupakan Penolong Kanan Ko-Kurikulum sekolah berkenaan turut berharap program sebegini mampu menyuntik setitik ilmu dan mempersiapkan para murid menjadi generasi yang kebal terhadap segala rintangan.
Jelasnya lagi, para murid bukan saja didedahkan kepada pemikiran lebih rasional tanpa membelakangi hala tuju malah mampu mengetengahkan ciri kepimpinan sekaligus mengilap potensi diri dalam mencapai kecemerlangan semua aspek.
Aktiviti tahunan yang berlangsung selama dua hari satu malam pada 19 hingga 20 Januari itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Mohd Hanim Mohd Goss.
Sementara itu, tidak ketinggalan menceritakan pengalaman manis bagi adik Huda Khairunnisa Adawiyah Alias (11 tahun) salah seorang murid Tahun Lima berkongsi keterujaan sepanjang mengikuti program itu.
“Saya sangat teruja dan ghairah mengikuti program ini.
“Kenangan yang paling tidak dapat dilupakan ketika malam punggok bersama kawan-kawan. Saya mahu kenangan ini saya kongsi kepada semua keluarga dan rakan-rakan.
“Saya juga harap dapat menjadi peserta dalam program akan datang,” katanya ketika ditemui.
Berbeza pula dengan adik Naziatul Nadiah Razali (12 tahun) murid Tahun Enam menyatakan pengalaman sepanjang program itu sangat bernilai dan cukup berharga buat dirinya.
Dia yang bakal melangkah ke Tingkatan Satu percaya ilmu dan pembelajaran serta pengalaman yang diberikan oleh para guru di sekolah rendah akan menjadi pedoman buat dirinya untuk menjadi insan yang berguna suatu masa kelak.
Hadir sama, Penolong Pegawai PPD Sektor Pembangunan Murid Ardi Abd Adis, Guru Besar SK Sungai Damit Muhammad Nureeh Haji Sainudin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sk Sungai Damit Noraidah Muparang, Penolong Kanan Pentadbiran Junaidi Juhari, Penolong Kanan Ko Kurikulum Sk Sungai Damit Matin Setoh, Pengerusi Kelab Staf Sk Sungai Damit Egis Abd Adis, Ketua Kampung Sungai Damit Jemawa Ghani.
Untuk rekod, seramai 27 orang terdiri daripada para guru dan kakitangan sekolah turut sama menjayakan program berkenaan.