Perbicaraan Ebit Lew bersambung lagi di Tenom

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (19 DIS): Mahkamah Majistret Tenom dekat sini akan menyambung semula perbicaraan kes gangguan seksual yang dihadapi pendakwah terkenal Ebit Lew bermula esok (20 Disember) hingga Khamis ini.

Perbicaraan berlangsung selama tiga hari ke atas pemilik nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim berusia 37 tahun itu disambung selepas perbicaraan pertama diadakan pada 27 hingga 30 September lalu.

Ketika itu, seramai tiga saksi termasuk pendakwah bebas, Firdaus Wong telah dipanggil.

Dijangka saksi sama dan lebih ramai saksi termasuk daripada pihak pembelaan akan dipanggil dalam perbicaraan kali ini.

Difahamkan, Ebit dihadapkan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah ke atas mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada Februari lepas, dia mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.