Penutupan sementara laluan sekitar KK sempena Bazar Ramadan bermula 23 Mac ini

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (22 MAC): Pelaksanaan Bazar Ramadan tahun 2023 di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu akan bermula pada 23 Mac 2023 (Khamis) hingga 21 April 2023 (Jumaat) dan pelaksanaan penutupan sementara lapan lokasi turut dilakukan bagi memberi laluan kepada penganjuran Bazar Ramadan kali ini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menutup sementara laluan bagi penganjuran Bazar Ramadan melibatkan lokasi di Lintasan Deasoka; tapak pasar malam Sembulan; tapak parkir bersebelah Bataras Indah Permai;  tapak parkir depan Daily Express Tanjung Aru, pasar malam inanam; tapak pasar malam Kingfisher; pasar malam Inanam Point dan tapak parkir Dewan Damai.

“Tempoh masa bazar ditetapkan pada jam 2.00 petang hingga 7.00 malam setiap hari di lapan lokasi-lokasi yang terlibat.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik, DBKK menasihatkan para pengguna jalan raya, para pengusaha kedai berdekatan lokasi bazar, para peniaga dan pengunjung untuk mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas dan menggunakan jalan alternatif serta tempat letak kereta lain yang berhampiran sepanjang tempoh penutupan sementara jalan dan tapak parkir ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.