Kota Kinabalu : Sabah mencatatkan penurunan 0.33 peratus kelulusan Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata pihaknya akan terus memperkasa usaha ke arah kecemerlangan bagi meningkatkan prestasi para pelajar secara holistik.
“Kerajaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sentiasa komited dan beriltizam untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan pelajar di semua sekolah.
“Kita juga akan berusaha menyediakan kemudahan pembelajaran, infrastruktur, prasarana serta latihan keguruan kepada semua guru bagi membina kecekapan dan memastikan keberkesanan proses pendidikan.
“Ini termasuklah inisiatif kita dengan penambahan jumlah guru serta menaikkan elaun guru-guru yang terbabit dan diharap akan menyumbang kepada kecemerlangan prestasi anak-anak kita,” ujarnya di Dewan Saadah Wisma MUIS, hari ini.
Dalam Sidang Media Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMU Tahun 2021, beliau yang juga Exco Pendidikan memaklumkan penurunan peratusan tersebut tidak signifikan atas beberapa sebab luar jangka melibatkan pandemik serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.
![](https://bayunews.net/wp-content/uploads/2022/08/2-1.jpg)
“Peratus kelulusan Peperiksaan SMU 2021 ialah 89.09 peratus, menurun 0.33 peratus berbanding 89.42 peratus pada tahun 2020.
“Daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan tersebut, seramai 376 pelajar telah lulus dengan mumtaz sembilan orang (2.4 %), jayyid jiddan 77 orang (20.48 %), jayyid 88 orang (23.40 %) dan maqbul 161 orang (42.81 %),” jelas beliau.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) adalah seramai 376 orang melibatkan lima buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), dua buah Sekolah Menengah Bantuan Kerajaan (SABK) iaitu SM Islamiah Tawau dan SMA Irsyadiah Marakau serta sebuah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), SMAR Nuruddin Sandakan.
“Lima sekolah SMAN tersebut terdiri daripada SMAN Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut, Papar, SMAN Islamiah Papar, SMAN Tambunan, SMAN Beaufort dan SMAN Keningau.
“Manakala SMAN Tahfiz Pekan Kunak menduduki Peperiksaan SMU Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) melibatkan 42 calon,” katanya.
Arifin turut mendedahkan empat daripada lima pelajar mendapat keputusan mumtaz dalam SMU KBD 2021 adalah dari SM Islamiah Tawau iaitu Nur Damia Hasanuddin dan Dayang Noraini Raimee yang mendapat 9 muntaz, 1 jayyid jiddan, diikuti Farzana Nur Haziyah Daud dan Saudah Salamat dengan 8 mumtaz, 2 jayyid jiddan dan 1 jayyid.
Manakala, seorang pelajar, Muhammad Siddiq Akmal Sabdin pula meraih 6 mumtaz, 4 jayyid jiddan dan 1 jayyid.
Sementara empat pelajar dari SMAN Kunak mencatat mumtaz SMU KBT dengan pencapaian 4 dan 3 mumtaz./Penerangan