Penumpang MPV maut insiden kemalangan di Semporna

editor@bayunews.net

SEMPORNA (20 OKT): Seorang penumpang kereta MPV yang tersepit meninggal dunia dalam insiden kemalangan di Jalan Bambu Kuning dekat sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Rastam Keladi dalam satu kenyataan pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan kejadian tersebut kira-kira jam 3 petang.

Seramai enam anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda bertembung dengan kereta serba guna (MPV) dan membabitkan lima mangsa.

“Pasukan bomba mendapati terdapat seorang lelaki iaitu penumpang MPV masih tersepit di dalam kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, pasukan bomba segera bertindak mengeluarkan mangsa terbabit menggunakan peralatan khas rescue tools.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Seorang lagi mangsa pemandu kereta MPV dan tiga dari pacuan empat roda mengalami kecederaan dihantar oleh orang awam ke hospital sebelum ketibaan jentera bomba,” katanya.

Rastam berkata, pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan jam 4.20 petang.