
Penguatkuasaan trafik Op Selamat dipertingkat di Sabah sempena Tahun Baharu Cina

editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (19 JAN): Seramai 267 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia Sabah akan mempertingkatkan penguatkuasaan trafik dalam Op Selamat 19 yang telah bermula sejak Selasa minggu ini sehingga Jumaat (27 Januari) depan sempena musim Perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah (gambar) berkata semua petugas telah diarahkan untuk turut berada di lokasi statik dan membuat rondaan sepanjang lokasi kawasan kerap berlaku kemalangan (black spot).
“Matlamat kali ini memfokuskan kepada melancarkan pergerakan lalu lintas, menurunkan kadar kemalangan maut dan kemalangan serta menurunkan kada jenayah pecah rumah ke tahap minima.
“Op Selamat 19 ini juga bertujuan untuk memberi keselesaan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan tidak menghadapi masalah kesesakan lalu lintas selain memastikan premis dan rumah kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat dari sebarang perlakukan jenayah,” katanya.
Beliau berkata terdapat 30 lokasi black spot yang dikenal pasti di kontinjen Sabah melibatkan 519 KM Jalan Persekutuan dan 83 km Jalan Negeri dengan jumlah jarak keseluruhan 602 km.
“Dalam usaha pencegahan jenayah pecah rumah, rondaan yang berterusan akan dijalankan bagi memantau premis dan kawasan perumahan yang ditinggalkan.
“Nasihat saya kepada masyarakat adalah semua pengguna jalan raya hendaklah lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Bersikap lebih bersabar semasa memandu dan tidak terburu-buru. Jika terlibat pemanduan jarak jauh, dapatkan rehat yang cukup.
“Maklumkan pergerakan cuti kepada pihak Polis. Borang maklumat balik kampung boleh diperolehi di balai-balai berhampiran dan portal laman web PDRM,” katanya.
Tambahnya, pemakluman juga boleh dibuat dengan menghubungi ‘hotline’ 999 serta mengisi secara atas talian di aplikasi Volunteer Smart Phone (VSP).