Penglibatan golongan muda dalam kepimpinan organisasi perlu terus diperkasa

Tawau : Peranan golongan muda dalam memimpin suatu organisasi tidak harus diletakkan dalam kelompok pertubuhan belia semata-mata tetapi di semua organisasi termasuk parti politik.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Ruslan Muharam berkata, bagi tujuan itu penglibatan golongan muda dalam kepimpinan parti khususnya PBS perlu diperkasa.

“Saya melihat golongan muda perlu dilibatkan bersama dan semua bidang organisasi termasuklah dalam arena politik.

“Justeru, penglibatan golongan muda dalam kepimpinan dan sebagai ahli PBS di semua peringkat perlu kita perkasakan agar parti ini mempunyai lebih ramai pelapis pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Mesyuaray Agung Tahunan kali ke-39 Gabungan PBS Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung; Apas dan Merotai di sini hari ini.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, semua ahli juga diseru untuk sentiasa menjalin kerjasama dengan rakan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pakatan Harapan (PH) di kawasan masing-masing.

“Ini adalah bagi memastikan kerjasama antara ahli dalam parti GRS mampu memperkuatkan lagi gerak kerja pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Ruslan turut menerima borang kemasukan ahli baharu seramai 126 ahli melibatkan tiga kawasan DUN.

Daripada jumlah itu,seramai 35 ahli baharu dari DUN Balung; 38 DUN Apas dan 53 DUN Merotai.