
Pengguna jalan raya Kg Tebok kini lebih selesa selepas dinaik taraf

Beaufort : Pengguna jalan raya di Kampung Tebok Klias di sini menarik nafas lega apabila laluan sejauh 1.88 kilometer kini telah diturap hampir lebih 75 peratus siap.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, laluan itu sebelum ini tidak dapat dilalui kenderaan rendah berikutan keadaan jalan raya yang tidak diperbaiki beberapa tahun lalu.
“Hari ini (semalam) saya bersama Datuk Matbali Musah Ahli Parlimen Sipitang diiringi PPM Lumadan ke kampung Tebok bagi melakukan simbolik kerja-kerja pengaspalsan jalan sejauh 1.88KM.
“Dengan adanya penurapan semula jalan ini akan memberi kesejahteraan kepada rakyat yang melalui jalan ini terutama para petani untuk membawa hasil tanaman mereka seperti sawit. Saya difahamkan jalan ini sebelum ini tidak dapat dilalui kenderaan rendah kerana aspal yang terlalu rosak.
“Oleh sebab itu kita telah berbincang dan memohon kepada Ketua Menteri untuk mendapatkan peruntukan supaya jalan di turap semula. Kita sangat berterima kasih di atas keprihatinan Ketua Menteri yang begitu prihatin dan menurunkan peruntukan untuk pengaspalsan jalan ini,” katanya.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, jalan itu dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung bulan September ini.
“Saya berdoa agar keadaan cuaca baik agar kerja kerja pengaspalsan jalan ini dapat di siapkan pada penghujung bulan September ini,” katanya.