Pengerusi JPKK perlu aktif main peranan jaga masyarakat

KINABATANGAN (20 SEPT) : Peranan aktif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seharusnya dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memastikan segala permasalahan yang timbul terus sampai ke pihak atasan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, mereka yang dilantik oleh kerajaan ini adalah individu-individu yang diyakini mampu menyampaikan suara rakyat yang memerlukan.

“Saya menyeru kepada JPKK agar memainkan peranan yang sewajarnya. Selaku pengerusi mereka dilantik oleh kerajaan untuk memastikan apa jua permasalahan dapat dibawa ke pihak berwajib disamping menjadi mata dan telinga kepada kerajaan.

“Saya berharap JPKK dapat menjalankan tugas dengan baik kerana kita tidak mahu nanti ada pihak lain yang mengambil peranan mereka kerana sepatutnya JPKK lebih tahu tentang kampung mereka sendiri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengerusi-pengerusi JPKK bagi kawasan DUN Lamag di Pejabat UPPM Lamag di Bukit Garam dekat sini baru baru ini.

Dalam pada itu, Bung yang juga Wakil Rakyat kawasan Lamag turut berharap agar mereka yang dipilih ini turun padang untuk melihat sendiri keadaan masyarakat di kawasan masing-masing.

“Sebagai pengerusi yang memiliki dasar dan kapasiti mereka seharusnya peka dan mengambil tahu, jangan hanya menunggu orang datang ke rumah. JPKK perlu turun padang dan memiliki data populasi penduduk kampung seperti jumlah anak muda, orang tua, penduduk berumur 80 tahun ke atas, ibu tunggal dan pesakit terlantar yang harus dibela serta diuruskan dengan baik.

“Kita tidak semestinya tahu semua perkara, sebab itu kita melantik pengerusi JPKK sebagai ‘react on behalf’ daripada pihak kerajaan. Justeru, penduduk kampung boleh membuat aduan terus kepada JPKK,” katanya.

Bung berkata, permasalahan yang dihadapi oleh rakyat akan dapat diselesaikan dengan mudah apabila badan itu bertindak mengikut kaedah yang tepat.

Jelasnya, masyarakat juga perlu mengetahui dan memahami saluran aduan yang betul agar ia menemui jalan penyelesaian terbaik dan bukannya memilih jalan singkat mencanang isu atau masalah kampung menerusi media sosial.

“Kita ada cara dan kaedah bekerja, JPKK akan bertindak mengajukan permasalahan kepada wakil rakyat masing-masing supaya boleh mengikuti perkembangan dan masalah rakyat sehingga ke peringkat seterusnya,” tambah Bung.

Hadir sama dalam perjumpaan itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat kawasan Lamag Abu Bakar Gapar dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kinabatangan Amri  Andimas.