editor@bayunews.net
KUNAK (13 OKT): Penduduk di beberapa kampung dekat sini panik susulan gegaran gempa berlaku semalam.
Gegaran kira-kira jam 11.10 malam semalam berpunca daripada satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.2 berlaku di Barat Daya, Kunak.
Menurut satu kenyataan penduduk, Sanuri Jainudin berkata, gegaran dirasai dari tingkat atas kediamannya dan menyedari barang perhiasan rumah yang diletakkan di tempat tinggi mula bergerak.
“Ketika itu kami sekeluarga sedang tidur, sebelum terbangun kerana merasai gegaran dalam beberapa saat.
“Selain itu, perhiasan yang diletak ditempat tinggi juga dilihat bergerak-gerak, namun mujur tidak jatuh,” katanya di sini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha ketika dihubungi berkata belum ada panggilan kecemasan berkaitan gempa bumi setakat ini.
Katanya, anggota bomba di BBP Kunak juga turut merasai gegaran semalam dan langkah bersiap siaga dilakukan.
“Kita akan menjalankan rondaan di kawasan pekan dan sasaran utama adalah bangunan-bangunan yang tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Kunak, Sabah.
Menurut kenyataan jabatan itu, pusat gempa ialah 13 kilometer Barat Daya dari Kunak, Sabah pada kedalaman 10 kilometer.