Penduduk kampung perlu bersabar dengan kerajaan

RANAU: Penduduk Mukim Malinsau dinasihatkan bersabar dengan usaha kerajaan untuk menaik taraf jalan raya kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yasin berkata, kerajaan komited dengan keperluan rakyat terutama kawasan pedalaman yang amat memerlukan infrastruktur asas seperti jalan raya sempurna, bekalan elektrik, air bersih dan sebagainya.

“Namun rakyat harus bersabar kerana perlaksanaan projek yang diperlukan itu perlu melalui beberapa proses seperti pelantikan konsultan membuat cadangan jajaran jalan pada peringkat awal.

“Kemudiannya proses ‘value management’, ‘value engineering’ yang melibatkan banyak kementerian serta jabatan dan kemudiannya pelawaan tender (telah ditutup pada 19 Ogos 2022),” katanya ketika merasmikan Tapak Tamu Mingguan Mukim Malinsau di sini, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan usaha menaik taraf jalan Tarawas-Karagasa  sebenarnya sudah dirancang untuk pelaksanaan pada tahun 2020, namun dikenakan waran sekatan berikutan pandemik COVID-19.

“Kita mengharapkan projek itu dapat dilaksanakan dengan segera memandangkan pelawaan tender untuk projek itu sudah ditutup,” katanya.

Berkaitan dengan Tamu Mingguan, Jonathan memuji penduduk kerana mewujudkan inisiatif untuk menghidupkan semula Tamu Mukim Malinsau setelah sekian lama dihentikan.

Beliau berharap tamu berkenaan dapat terus berkembang sebagai platform kepada petani setempat memasarkan hasil tanaman mereka seterusnya meningkatkan taraf ekonomi.

 “Saya juga mencadangkan supaya pembinaan pondok di kawasan tapak tamu dilaksanakan dan usaha naik taraf jalan nanti tidak menjejaskan tapak tamu ini,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo