
Penduduk dinasihat patuhi arahan sekiranya diarah berpindah ke PPS

Beaufort : Penduduk terutama di daerah ini dinasihat untuk mematuhi arahan pihak keselamatan termasuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya diarah untuk berpindah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, paras air sungai pada masa ini juga dilihat agak tinggi dan dikhuatiri akan terus meningkat berdasarkan keadaan cuaca hujan yang sering berlaku.
“Kita memberi nasihat kepada rakyat supaya mereka mematuhi arahan pihak keselamatan kita dan juga pasukan bencana alam daerah di mana kita melihat perkembangan air banjir pada kali ini agak tinggi juga dan kita khuatiri dijangka ia akan tinggi yang di luar jangka.
“Jadi kita merayu kepada rakyat yang rumahnya ditenggalami air supaya berpindah. Sebab kita risau dengan keadaan sekarang, cuaca pun masih hujan dan sudah tentu terdapat kekangan apabila sudah malam.
“Kita juga mempunyai kesukaran dalam keadaan air sudah tinggi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di tiga Zon dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Sebanyak 1,062 bakul makanan disalurkan ke tiga Zon iaitu Zon Beaufort Selatan; Zon Suasa dan Zon Bangkalalak.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, meskipun lewat dalam proses agihan tersebut namun pihaknya tetap komited untuk memastikan bekalan makanan sampai kepada semua yang memerlukan.
“Insya-Allah, pengagihan akan diteruskan esok dan pada hari-hari berikutnya. Setakat ini, seramai 460 orang mangsa banjir telah dipindahkan ke dua PPS yang diaktifkan.
“Antaranya di Dewan Kebudayaan dan Kesenian Persatuan Bersatu Bisaya Sabah (PBBS) seramai 190 orang dan PPS Selagon seramai 270 orang,” katanya.