Penduduk di kawasan rendah dinasihat sentiasa utamakan keselamatan

Beaufort : Penduduk terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai diminta untuk sentiasa mengutamakan keselamatan khususnya ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, penduduk terlibat juga diminta untuk sentiasa menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sekiranya berlaku sebarang bencana.

“Kita ingin memberi nasihat kepada rakyat terutama sekali yang mempunyai rumah ditepi-tepi sungai agar memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Tidak perlu tunggu rumah sekiranya air bertambah meningkat naik dan pastikan keselamatan serta dokumen dibawa bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah dan Pegawai Daerah Beaufort Mohd Nazri Ajun.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut meminta penduduk menghubungi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk bantuan yang diperlukan.

Semalam, seramai 80 mangsa dari 26 Ketua Isi Rumah dipindahkan ke PPK Selagon selepas rumah mereka di Kampung Suasa dan berhampiran dilanda banjir.

Operasi pemindahan itu dilaksanakan beberapa agensi keselamatan termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi lain.