Penduduk Beaufort Diminta Berwaspada Susulan Paras Sungai Padas Bahaya

BEAUFORT :  Penduduk sekitar daerah ini dan kawasan berhampiran Sungai Padas diminta agar sentiasa berwaspada susulan paras sungai tersebut telah mencecah pada paras bahaya petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, keadaan banjir yang mula melanda sejak semalam masih berterusan dan berpotensi meningkat berikutan cuaca tidak menentu.

Beliau yang mengadakan tinjauan dibeberapa kawasan terjejas banjir bersama Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah mendapati beberapa kawasan rendah mula dinaiki air dengan limpahan sungai yang semakin meluas.

“Justeru itu, semua pihak perlu lebih peka dengan keadaan semasa memandangkan risiko banjir boleh mengancam keselamatan penduduk, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai.

“Kita minta penduduk mengambil langkah berjaga-jaga, terutama yang mempunyai anak kecil agar tidak membiarkan mereka bermain di kawasan banjir.

“Jika ada keperluan dipindahkan, penduduk boleh menghubungi Pejabat Daerah, Pejabat ADUN, PKOB atau kepimpinan JKKK untuk bantuan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menekankan keperluan kawalan pembangunan di kawasan tanah tinggi, tebing sungai serta ladang-ladang baharu yang dibuka secara tidak terkawal kerana ia antara faktor yang menyumbang kepada kekerapan banjir di Beaufort.

Beliau menyeru agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme lebih mesra alam dalam perancangan pembangunan supaya masyarakat dan pengusaha dapat sama-sama memainkan peranan mencegah kerosakan alam sekitar sekali gus mengurangkan risiko banjir berulang.