
Penanaman Pokok Perepat bantu ekonomi komuniti dan lestarikan alam

BEAUFORT: Inisiatif penanaman pokok Perepat oleh guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong di Kampung Nabahan membantu komuniti untuk menjana ekonomi selain dapat melestarikan alam.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, usaha menanam dan memelihara pokok tersebut sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada pelajar sekolah akan kepentingan memelihara dan menjaga alam semulajadi.
“Saya mengambil kesempatan untuk melihat tanaman pokok perepat yang di tanam penghujung tahun lalu.
“Petang tadi juga guru-guru SMK Gadong, Beaufort yang diketuai oleh Pengetua telah menanam sebanyak 30 batang pokok perepat dengan bayaran RM10.00 sepokok kepada komuniti Kampung Nabahan sebagai membantu masyarakat ini dalam meningkatkan ekonomi mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, tugas guru tidak hanya tertumpu kepada akademik di sekolah tetapi juga mendidik komuniti di luar daripada sekolah seperti komuniti di kawasan kampung.
“Guru-guru ini juga berusaha mendidik pemuliharaan pokok Perepat sebagai sumber makanan utama Proboscis Monkey atau bangkatan serta melestarikan hutan,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa kumpulan guru SMK Gadong bercadang untuk membawa pelajar tingkatan enam pada penghujung tahun ini untuk menanam pokok tersebut di Kampung Nabahan.