Pembinaan surau baharu bakal beri manfaat lebih 100 penduduk

Kudat : Pembinaan surau Kampung Lotong Matunggong di sini bakal memberi manfaat kepada lebih 100 penduduk khususnya yang beragama Islam untuk melaksanakan ibadah dan aktiviti bermanfaat.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, surau yang berkeluasan lebih 1,500 kaki persegi itu dijangka siap dibina penghujung Julai ini.

“Sudah tentu dengan adanya pembinaan surau ini ianya akan dapat memberi kemudahan khususnya Kepada masyarakat Islam di Kampung Lotong yang lebih kurang lebih 100 orang berada disini dan Saya difahamkan seramai 50 orang daripadanya adalah saudara baru.

“Mereka ini sudah tentu memerlukan bimbingan berterusan dan dengan adanya bangunan ini, mereka akan dapat dibimbing dengan sebaik mungkin.  Sebaik surau ini siap sepenuhnya, pihak Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan menyediakan dua pembimbing yang dibayar Pusat Zakat Sabah (PZS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan surau Kampung Lotong, Matunggong, di sini pagi tadi..

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pembimbing itu nanti diyakini akan dapat membantu memberi dan menambah pengetahuan yang lebih mendalam kepada saudara baru khususnya tentang ajaran agama Islam.

Terdahulu, pada majlis itu, Ruslan turut menyampaikan bantuan bakul makanan secara simbolik kepada asnaf di Kampung Lotong.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seorang hamba Allah SWT yang telah mewakafkan tanah ini bagi tujuan pembinaan surau.

“Terima kasih yang tidak terhingga Penolong Pegawai Daerah kecil Matunggong Hassan Libau  di atas kerjasama yang baik bagi memastikan pembinaan surau ini dapat di laksanakan,” katanya.