
Pembiayaan Usahawan Lulus Dalam Tempoh Lima Hari Bekerja
0 Comments
KINABATANGAN : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menetapkan tempoh kelulusan pembiayaan kepada usahawan hanya dalam masa lima hari bekerja.
Timbalan menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata langkah itu diambil bagi mengatasi rungutan usahawan yang berdepan proses kelulusan pembiayaan yang terlalu lama.
“Kita mendengar rintihan usahawan dan bersetuju proses kelulusan lima hari bekerja, dengan syarat dokumen perlu lengkap barulah semua dokumen itu kita wujudkan perkongsian data di peringkat kementerian.
“Apabila data sudah ada, pemohon tidak perlu menghantar semula maklumat setiap kali memohon pembiayaan baharu,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) di KOPEL Kinabatangan, pada Rabu.
Beliau berkata, program berkenaan dianjurkan bagi membantu golongan B40 mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
“Inisiatif ini turut membuka peluang kepada koperasi dan usahawan tempatan memasarkan produk masing-masing.
“Insya-Allah kita bersama-sama dengan banyak agensi di bawah KUSKOP akan menganjurkan pelbagai lagi program bagi mendekati peringkat akar umbi,” ujarnya.
Dalam majlis berkenaan, sebanyak RM11 juta dana pembiayaan disalurkan kepada KOPEL Kinabatangan bagi membantu pengembangan operasi dan perolehan aset.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Rahman Mohd Din, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalan, Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Pengarah Bahagian Operasi Amanah Ikhtiar Malaysia Negeri Sabah, Mohd Khairul amri Amihamzah.





