Pembekal makanan mangsa banjir di Beaufort diminta tepati standard ditetapkan

Beaufort : Pembekal penyedia makanan mangsa terjejas banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) diminta untuk menepati standard yang ditetapkan Kerajaan agar mangsa terlibat dapat perkhidmatan lebih baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, pihak pembekal juga diminta untuk sama-sama menyumbang tenaga kepada mangsa yang mengalami musibah.

“Saya telah menerima aduan bahawa makanan yang diedarkan kepada mangsa yang dipindahkan ke PPS tidak mencukupi malah kuantiti didalam makanan yang disediakan juga agak sedikit.

“Justeru kita menyarankan supaya para pembekal memadankan dengan harga yang telah kerajaan beri dan supaya mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik dan kita tidak mahu melihat ada mangsa yang tidak memperoleh bekalan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau beberapa kawasan yang digenangi air sekitar Pekan Beaufort di sini.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pihaknya turut menerima rungutan berhubung ketiadaan makanan khusus untuk bayi serta anak kecil.

“Justeru kita tidak mahu melihat mereka kelaparan. Saya akan pastikan perkara ini ditangani segera,” katanya.

Selain meninjau kawasan terjejas banjir, Ruslan turut melawat beberapa PPS utama yang menempatkan mangsa di tiga PPS.

Antara yang dilawati PPS Lumat; PPS Dewan Selagon dan PPS Persatuan Bisaya Bersatu Sabah.